"Kenapa formasi 3-5-2?"

Itu persoalan yang ditimbulkan ketua jurulatih Filipina, Goran Milojevic, dengan menggambarkan pendekatan yang dipilih pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, banyak memberi ruang mudah untuk pasukannya ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan Sukan SEA, malam tadi.

Mengenali Malaysia, Milojevic menggambarkan penguasaan bola bakal milik anak buah Kim Swee itu menerusi formasi 4-3-3 yang sering diterapkan pasukan senior sebelum ini.

Namun, hal itu tidak berlaku, sebaliknya kegagalan bahagian tengah skuad negara berfungsi dengan baik dalam babak pertama, terutamanya, seolah-olah membuka ruang mudah buat Filipina mengasak.

"Sejujurnya, kami terkejut dengan pendekatan formasi yang digunakan Malaysia. Kami mengikuti perkembangan skuad senior Malaysia yang menggunakan formasi 4-3-3 tetapi tidak untuk skuad Sukan SEA apabila mereka mempertaruhkan 3-5-2.

"Bagi saya, terlalu bahaya untuk bermain secara bertahan seperti itu tetapi ia memudahkan kami untuk mengawal permainan," katanya.

Kapten negara, Adam Nor Azlin, juga memberi bayangan formasi yang diterapkan Kim Swee itu memerlukan kekuatan bahagian tengah yang ketara, namun ia tidak berlaku dalam pertemuan semalam.

Bagaimanapun, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mahu melupakan detik hitam itu dan bertekad untuk memastikan Malaysia meneruskan kemaraan ke separuh akhir dalam edisi kali ini.

"Untuk formasi ini, ia memang memerlukan fokus lebih tinggi di bahagian bek tengah kerana itu merupakan tunjang utamanya," katanya.

"Kami terlalu berhati-hati, lutut mengalami banyak luka," tambah pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid, yang terus gagal menyerlah selepas dua perlawanan.