Bola sepak: Pemain serba boleh keutamaan Kim Swee

Oleh Staff Writer 21 November 2019 3327
Bola sepak: Pemain serba boleh keutamaan Kim Swee
Menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, berhadapan tugas mencabar menyenaraikan barisan 20 pemain terbaik pasukannya.

Sehingga hari ini, seramai 32 pemain berada dalam kem latihan pusat dan Kim Swee hanya mempunyai kurang daripada 24 jam untuk memilih pemain terbaik bagi membentuk sebuah pasukan yang mempunyai keseimbangan, di setiap posisi.

Namun, fokus Kim Swee kini adalah memberi keutamaan kepada pemain yang mempunyai kelebihan beraksi di beberapa posisi berbeza.

“Senarai 20 pemain untuk saya namakan agak mencabar. Ia berbeza dengan Kejohanan AFC di mana 23 pemain dibenarkan, jadi saya harus melihat daripada segi keseimbangan dan kedalaman di beberapa posisi.

"Saya perlu mengambil pemain yang boleh beraksi dalam dua atau tiga posisi untuk memberi ruang berehat mengikut jadual di Manila.

“Pemain yang boleh bermain dalam dua posisi merupakan kelebihan dan saya perlu lihat posisi mana yang saya perlu tampung bagi mendapatkan pemain berlebihan di posisi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Dalam sesi latihan tersebut, skuad B-22 negara mencatat kemenangan 3-0 dan 2-0, masing-masing ke atas Northern Territory FC dan Western Australia FC dalam aksi persahabatan.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, beraksi bersama skuad negara, Kim Swee menjelaskan pengesahan tersebut hanya akan diketahui esok.

Menurut Kim Swee, masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum pemain Sporting Kansas City dalam Liga Bola Sepak Utama Amerika (MLS) itu layak beraksi bersama pasukannya.

“Masih belum ada keputusan tentang Wan Kuzain, di mana hanya esok saya akan maklumkan tentang situasi beliau. Tetapi beberapa isu lagi perlu kita selesaikan sehingga esok dan saya harap jika semuanya berjalan lancar, kita dapat menyenaraikan beliau. Jika tidak kita terpaksa melupakan Wan Kuzain,” tambah beliau.

Wan Kuzain menyertai kem latihan pusat skuad kendalian Kim Swee Isnin lalu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen