Malaysia hanya perlu menjelmakan semangat 'Harimau Malaya' selepas memiliki segala keupayaan untuk menamatkan dominasi Thailand dalam acara bola sepak Sukan SEA, sekali gus merangkul pingat emas pertama dalam tempoh lapan tahun.

Edisi 2011 di Jakarta merupakan kali terakhir Malaysia meraih emas sebelum giliran Thailand mempertahankan 'ibu segala pingat' itu dalam tiga edisi berikutnya, termasuk kejayaan menewaskan Malaysia 1-0 di pentas final edisi 2017 di Stadium Shah Alam.

Skuad B-22 Tahun negara kini dibarisi sebahagian besar pemain yang telah bersama sejak kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020, Mac lalu, selain beberapa pemain yang sudah bersama pengendali, Datuk Ong Kim Swee, sejak tiga tahun lalu.

Kelebihan itu ternyata melegakan pengendali berusia 49 tahun itu meskipun terpaksa menempuh beberapa kekangan tertentu dalam menyediakan pasukan terbaik menjelang saingan di Manila hujung bulan ini.

"Ini salah satu faktor yang agak membantu kerana saya tidak perlu fikir tentang perkara asas. Jurang masa amat singkat buat saya menyediakan pasukan daripada segi taktikal memandang ia amat penting untuk difahami semua pemain apabila kami bertemu pasukan-pasukan tertentu," katanya kepada Bernama.

Seramai 23 daripada 28 pemain yang disenaraikan dalam kem latihan pusat yang bermula Isnin lalu telah melaporkan diri, namun dia masih menunggu ketibaan beberapa pemain yang kini sedang menabur bakti bersama skuad B-18 dan skuad kebangsaan.

Antara pemain itu adalah Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhamad Umar Hakeem daripada skuad B-18 sementara Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Syahmi Safari dan Dominic Tan yang bersama skuad kebangsaan ketika ini.

"Kalau ikutkan kehadiran, sudah tentu setiap jurulatih inginkan pemain terbaik tetapi apabila terdapat pemain B-22 ke pasukan kebangsaan yang merupakan satu pentas berbeza dan keamatan berbeza, ia akan beri mereka pengalaman berguna untuk digunakan bersama pasukan B-22.

"Dalam barisan pemain skuad B-18, mereka bermain secara kompetitif dalam kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020, jadi itu tidak menimbulkan sebarang masalah," jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Kim Swee mengharapkan kesemua pemain yang terlibat bersama pasukan B-18 dan pasukan kebangsaan bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya harap apabila mereka kembali daripada tugas, masing-masing berada dalam keadaan cukup baik untuk mengharungi kemungkinan empat hingga enam perlawanan lagi dalam Sukan SEA nanti," tambahnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan pasukan tuan rumah, Filipina, manakala Thailand bakal menerima cabaran sengit selepas diundi bersama Vietnam, Indonesia, Laos, Singapura dan Brunei dalam saingan Kumpulan B.

-- BERNAMA