FILIPINA 1 MYANMAR 2

Win Naing Tun menjaringkan gol lewat dalam babak kedua untuk membantu Myanmar menewaskan tuan rumah, Filipina, dalam aksi kedua saingan bola sepak lelaki Sukan SEA di Stadium Memorial Rizal, Manila, hari ini.


Filipina bermula baik dalam perlawanan kedua itu tetapi Myanmar terlebih dahulu berpeluang memberi ancaman selepas Justin Baas melepaskan kawalan bola di tengah padang bagi membolehkan The Asian Lions itu melakukan serangan selepas 15 minit permainan.

Tidak lama kemudian, tatkala benteng The Azkals itu masih tercari-cari rentak permainan, Myat Kaung Khant melambungkan bola melepasi pertahanan tuan rumah untuk membolehkan Aung Kung Mann melepaskan rembatan, menyaksikan bola lolos di celah kaki penjaga gol Filipina, Anthony Pinthus, sekali gus memberi pendahuluan buat pasukannya.

Tuan rumah sekali lagi cuba untuk menembusi benteng Myanmar tetapi sebaliknya berlaku apabila lawan hampir menggandakan kelebihan di Manila. Htet Phyoe Wai mengawal bola dari tepi sebelum melakukan hantaran ke depan pintu gawang pada minit ke-40.

Penjaring gol pertama, Kaung Khant, berada di tengah-tengah kotak penalti dan hanya perlu menyudahkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat Myanmar tetapi pemain tengah Yadanarbon FC itu gagal menggunakan kesempatan tersebut.

Lebih mengecewakan pelawat, The Azkals menyamakan kedudukan sebelum rehat tatkala Dennis Chung mendada bola dan membuka ruang buat Baas melepaskan rembatan tepat ke gawang, sekali gus menebus kesilapannya yang menghadiahkan jaringan pembukaan lawan sebelum itu.

Babak kedua menyaksikan Filipina memburu jaringan untuk meraih pendahuluan tetapi Myanmar sentiasa bersedia dengan serangan balas menerusi kepantasan barisan depan.

Pada minit ke-73, Kung Mann menyaksikan percubaannya diselamatkan Pinthus selepas melepasi benteng Filipina dan beberapa minit kemudian, bola rembatan pemain gantian, Naing Tun, sekadar menggegar tepi jaring gol setelah melepasi kawalan benteng tuan rumah menerusi kepantasannya.

Jaringan kemenangan hadir pada minit ke-79 setelah Kaung Khant bijak melakukan larian untuk memecahkan tembok pertahanan dan menyambut bola hantaran dari tengah padang sebelum pemain berusia 19 tahun itu mencipta bantuan gol keduanya menerusi hantaran lintang yang membolehkan Naing Tun meledak gol.

Myanmar yang diikat 1-1 ketika berdepan Malaysia dalam aksi pembukaan kini meraih empat mata daripada dua perlawanan.

Kredit: www.foxsportsasia.com