Ibu segala pingat emas, bola sepak, sentiasa menjadi dambaan setiap negara yang bertanding dalam Sukan SEA dan Malaysia akan bertandang ke Filipina hujung bulan ini berbekalkan misi untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu.

Imbasan 2017 di Stadium Shah Alam menyaksikan Malaysia berputih mata tewas tipis 1-0 di tangan Thailand menerusi gol sendiri Haziq Nadzli untuk perebutan emas Sukan SEA.

Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, masih dipertanggungjawabkan untuk mengemudi pasukan kebangsaan kali ini dan ketua jurulatih berusia 48 tahun itu mempunyai ramuan untuk memastikan misi emas di Manila mampu direalisasikan.

"Kalau ikut di atas kertas, Myanmar adalah halangan utama Malaysia. Kami tidak boleh ambil mudah," katanya.

Permulaan yang cukup baik dilihat apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi lampu hijau kepada skuad muda itu terbang ke Filipina atas tiket kategori A, di mana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan.

Kim Swee perlu mengambil risiko mengetengahkan bakat muda untuk skuad kali ini tanpa kelibat beberapa tonggak dua tahun lalu yang sudah kerap membuat penampilan bersama skuad senior seperti Safawi Rasid, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid.

"Saya percaya dengan pemain sedia ada serta yang terlibat dengan skuad kebangsaan. Kami boleh beri cabaran dan saingan bagi mendapatkan keputusan positif," tambahnya.

Laluan yang dirintis skuad muda negara itu juga cerah setelah diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Filipina, Timor Leste, Myanmar dan Kemboja, sekali gus mencerahkan harapan mara ke separuh akhir.

"Bagi saya, peluang tahun ini agak terbuka kerana kami dibarisi pemain muda yang bagus serta mewakili pasukan senior. Mungkin ia akan membantu untuk meraih emas dan mendapatkan keputusan positif," ujar pertahanan negara, Irfan Zakaria.

Dalam kehangatan memberikan solidariti kepada skuad bola sepak lelaki, skuad wanita juga bakal mengharungi cabaran dalam Sukan SEA kali ini dalam Kumpulan A bersama Filipina dan Myanmar.

Di atas kertas, skuad kendalian Jacob Joseph itu mungkin tidak diletakkan harapan, namun mereka pernah mempunyai reputasi muncul pemenang perak ketika edisi 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.