Bola sepak: Malaysia hidup peluang ke separuh akhir

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2019 4917
Bola sepak: Malaysia hidup peluang ke separuh akhir
MALAYSIA 4 TIMOR LESTE 0

Skuad negara menghidupkan peluang ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA Filipina apabila menewaskan Timor Leste 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Selepas terikat 1-1 dengan Myanmar sebelum tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah, Filipina, dalam dua perlawanan pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tiada pilihan selain meraih kemenangan besar ke atas Timor Leste.

Gol sendiri Filomeno Junior Da Costa dan jaringan berganda Hadi Fayyadh Abdul Razak dalam babak pertama meletakkan Malaysia di kedudukan selesa sebelum pemain gantian, Akhyar Rashid, menambah satu gol lagi dalam separuh masa berikutnya.

Dengan mengekalkan formasi 3-4-3, skuad negara lebih banyak melakukan pergerakan di bahagian sayap dan tekanan yang diberikan Syamer Kutty Abba memaksa Da Costa melambungkan bola ke gawang sendiri pada minit kelima.

Menerusi satu gerakan di bahagian kanan, hantaran lintang Syahmi Safari gagal dikeluarkan pertahanan Timor Leste sebelum Hadi Fayyadh mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-33.

10 minit berselang, kesilapan bahagian pertahanan sekali lagi menghukum Timor Leste apabila hantaran lintang Syahmi didada Ximenes Mesquita ke arah Faisal Halim dan pemain tengah itu menyepak bola yang sempat melantun di kedua-dua belah tiang gol Augusto Pereira sebelum ditolak masuk Hadi Fayyadh.

Akhyar akhirnya membuka akaun jaringan dalam kempen kali ini apabila bertindak bijak mengejar lorongan Kogileswaran Raj untuk mengesahkan kemenangan 4-0 Malaysia pada lewat permainan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Stadium Binan, Myanmar mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kemboja 2-1.

Sin Sophanat terlebih dahulu mengejutkan skuad kendalian Velizar Popov itu pada minit ke-21 sebelum Lwin Moe Aung menjaringkan satu gol dalam setiap babak untuk memastikan kemenangan pasukannya.

Malaysia, Kemboja dan Filipina kini dalam perebutan tiga penjuru bagi mengesahkan tempat sebagai pasukan kedua terbaik di belakang Myanmar selepas masing-masing memungut empat mata.

Skuad negara akan berdepan Kemboja manakala Filipina akan bertemu Timor Leste dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Rabu ini.

"Ia akan membangkitkan keyakinan anak buah saya kerana sedar Kemboja bermain dengan baik ketika menghadapi Filipina dan mengalahkan Timor Leste. 

"Walaupun mereka tewas kepada Myanmar, mereka masih mampu mara sekiranya mengalahkan kami. 

"Saya tidak fikir ia akan menjadi perlawanan yang mudah. 

"Kami perlu mengamalkan pendekatan berbeza untuk perlawanan ini," kata Kim Swee. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen