Bola sepak: Malaysia elak gergasi ASEAN dalam undian

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2019 64
Bola sepak: Malaysia elak gergasi ASEAN dalam undian
Skuad bola sepak B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee mendapat laluan mudah dalam Sukan SEA Filipina dalam majlis undian yang menyaksikan lima badan induk antarabangsa melakukan boikot hari ini. 

Apa yang menarik, hanya lima jenis sukan menjalani proses undian hari ini, iaitu bola sepak, bola tampar, polo air, badminton serta hoki dalam air.

Lima lagi sukan, termasuk sepak takraw tidak dapat dijalankan undian hari ini tetapi untuk skuad bola sepak, peluang tampak cerah selepas diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Filipina, di samping Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

"Pertama sekali, seperti dijangkakan apabila menerima bantahan daripada persekutuan sukan peringkat Asia yang melibatkan beberapa acara sukan, ia terpaksa ditangguhkan akibat rasa tidak puas hati mengenai pendaftaran yang akan berakhir pada Jumaat ini," kata chef-de-mission (CDM) Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Walaupun bantahan itu telah diterima, hari ini kami mengesahkan kelima-lima acara sukan tersebut tidak dapat dijalankan undian, namun apa yang kami nantikan adalah sepak takraw.

"Kami akan tunggu sehingga 28 Oktober ini. Lebih bagus agar tiada sebarang kecurangan dalam soal menyusun atur pasukan yang akan bertanding.

"Namun, kami bersyukur kerana undian untuk pasukan bola sepak menyaksikan skuad negara tidak diletakkan sekumpulan dengan pencabar utama seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

"Saya lihat peluang untuk layak ke separuh akhir cerah buat Malaysia. Alhamdulillah kami tidak diletakkan dalam kumpulan maut. Namun, saya yakin di mana sahaja skuad bola sepak diletakkan, mereka boleh berikan saingan yang terbaik."

"Kalau dilihat di atas kertas, ia satu peluang baik untuk mara ke peringkat seterusnya tetapi kami tidak boleh ambil mudah. Pasukan lain sudah bersedia lebih awal, terutama dengan kehadiran dua pemain lebih umur, lebih-lebih lagi skuad tuan rumah," ujar Kim Swee.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen