Pemain yang sedang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin, bertekad memperbaiki prestasinya dalam kempen Sukan SEA Filipina sekiranya terus diberi kepercayaan oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Penyerang berusia 17 tahun itu dan Umar Hakeem Suhar Redzuan merupakan dua pemain daripada pasukan B-18 negara yang mendapat kepercayaan Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dalam aksi menentang Myanmar, petang semalam.

Bagaimanapun, produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkenaan yang beraksi buat kali pertama dalam perlawanan kompetitif bersama skuad Kim Swee, gagal menyinar di Stadium Memorial Rizal apabila Malaysia terikat 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu.

Berikutan itu, pemain yang telah mendapat tawaran untuk beraksi bersama pasukan Liga Utama Belgium, KV Kortrijk, tersebut mahu memperbaiki segala kelemahannya dalam menjayakan misi skuad B-22 negara untuk meraih pingat emas Sukan SEA.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan aksi saya, terdapat kekurangan. Saya selalunya akan menghadapi kesukaran dalam perlawanan pertama. Mungkin dalam perlawanan seterusnya saya boleh baiki kelemahan saya jika diberi kepercayaan.

“Beraksi di padang tiruan juga boleh memberi kesan kerana bola laju sikit sebab kami tak biasa dengan padang di sini. Sebelum ini dah berlatih di atas rumput tiruan tetapi padang ini lebih licin dan bola lebih laju, ia memberi sedikit halangan kepada kami,” katanya.

Myanmar, yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13 sebelum tandukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-24 menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan.

Selepas berehat tiga hari, Malaysia seterusnya akan memburu kemenangan ke atas tuan rumah, Filipina, Jumaat ini, diikuti aksi menentang Timor Leste (Isnin) dan Kemboja dua hari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah dalam edisi 2011 di Jakarta. Dalam edisi 2017 pula, Malaysia merangkul perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.

-- BERNAMA