Bola sepak: Latihan tiga minggu cukup -- Kim Swee

Oleh Bernama 9 Oktober 2019 518
Bola sepak: Latihan tiga minggu cukup -- Kim Swee
Skuad bola sepak lelaki B-23 negara hanya mempunyai tempoh persiapan kira-kira tiga minggu sebelum memulakan saingan Sukan SEA 2019 Filipina bulan depan.

Mengikut perancangan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, pemain akan memulakan latihan pusat pada 4 November depan, iaitu dua hari selepas final Piala Malaysia.

Pemain yang disenaraikan dalam skuad senior bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pula hanya akan melaporkan diri pada 20 November nanti selepas dua aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Thailand pada 14 November dan Indonesia, lima hari kemudian.

Bagaimanapun, Kim Swee menegaskan tidak timbul isu kesuntukan masa untuk persiapan kerana barisan pemain tetap menjalani latihan intensif dan perlawanan di peringkat senior bersama pasukan kebangsaan dan kelab masing-masing.

“Saya percaya bukan sahaja pasukan negara tetapi pencabar lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia juga berhadapan dengan situasi sama. Mereka juga mempunyai ramai pemain B-23 yang terlibat dengan pasukan senior kebangsaan.

“Jadi, saya tidak nampak sebarang isu di sini di mana masa tidak mencukupi. Pemain mempunyai tiga minggu untuk membuat persiapan sebelum ke Manila pada 23 atau 24 November depan kecuali pemain daripada pasukan senior,” katanya dalam sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur, hari ini.

Acara bola sepak akan berlangsung dari 26 November hingga 10 Disember depan.

Kim Swee berkata pihaknya juga sedang merancang aksi persahabatan pada 21 atau 22 November dan pasukan lawan akan ditentukan selepas undian Sukan SEA yang dijadualkan di Manila, Selasa ini.

Mengenai dua pemain lebih umur yang bakal disenaraikan, Kim Swee berkata dia sudah mendaftarkan tujuh pemain, namun dua pemain yang dipilih hanya akan diputuskan selepas kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia itu berdasarkan posisi yang diperlukan.

Dia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur berhasrat untuk menebus kekecewaan itu dalam edisi kali ini selepas berjaya membimbing anak buahnya meraih ‘ibu segala pingat’ ketika Sukan SEA 2011 di Indonesia.

“Ini kali kelima saya dalam Sukan SEA dan saya percaya kami sentiasa mahu pingat emas. Yang penting, kami harus fokus dahulu persiapan, biar kami lalui satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum memikirkan pingat emas mahupun layak ke perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pihaknya menaruh harapan tinggi untuk meraih emas dalam temasya itu berdasarkan usaha dan komitmen yang ditunjukkan barisan kejurulatihan serta pemain.

Untuk rekod, sejak acara bola sepak lelaki dipertandingkan bermula edisi pertama pada 1959 ketika temasya itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan SEAP), Malaysia pernah merangkul emas sebanyak enam kali, perak enam kali dan tujuh kali pulang dengan gangsa.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen