Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, meminta pasukan negeri dan kelab dalam Liga Malaysia menghormati barisan pemainnya dan tidak mengganggu dengan tawaran untuk memancing khidmat mereka bagi saingan musim depan.

Tanpa berselindung, Kim Swee mengakui kurang senang dengan situasi itu memandangkan skuad negara sedang fokus untuk mengharungi cabaran Sukan SEA Filipina.

Dia memminta agar pasukan negeri dan kelab dapat memberikan ruang buat pemain yang ingin dipancing bagi menumpukan kepada tugasan negara terlebih dahulu dan sebarang urusan berkaitan saingan tempatan diuruskan selepas tamat temasya dwitahunan itu.

Saingan Liga Malaysia musim 2020 dijangka akan bermula sekitar Februari depan dan antara nama yang berada dalam radar adalah Irfan Zakaria memandangkan dia tidak menyambung kontrak dengan pasukan Kuala Lumpur.

"Ini perkara yang biasa berlaku apabila kami beraksi di penghujung tahun atau selepas saingan liga tamat.

"Saya percaya pemain dan kelab mempunyai pendapat masing-masing tetapi ini tugasan negara. Kalau boleh saya minta agar mereka diberi masa untuk memikirkan perkara ini setelah tamat Sukan SEA. Penting untuk pemain menumpukan perhatian dalam saingan kali ini," ujarnya.

Pengendali itu turut meluahkan dilemanya yang terpaksa membuat pilihan berlatih di bawah terik matahari di Stadium Memorial Rizal berbanding mengharungi padang latihan di Binnan yang akan memakan masa perjalanan selama tiga jam bagi melakukan persediaan menentang tuan rumah, Filipina, Jumaat ini.

"Kami harus memilih sama ada berlatih di bawah matahari atau menggunakan lokasi yang jauh untuk meneruskan latihan. Saya memilih untuk memberi latihan pada sekitar jam 11 pagi dan walaupun hanya sejam, ia sudah mencukupi."