Ketua jurulatih pasukan bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee, yakin bahawa peluang Malaysia dalam saingan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina masih terbuka.

Selepas terikat 1-1 dengan Myanmar dalam aksi sulung kelmarin, Malaysia kini berkongsi satu mata bersama empat pasukan lain apabila tuan rumah, Filipina, turut mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kemboja.

Bagaimanapun, Kim Swee, yang mengendalikan skuad negara buat kali kelima berturut-turut dalam Sukan SEA, menuntut barisan pemainnya supaya meraih mata penuh dalam tiga aksi peringkat kumpulan apabila bakal menentang Filipina, Jumaat ini, Timor Leste (Isnin) dan Kemboja (Rabu) untuk layak ke separuh akhir.

“Saingan masih terbuka, kita tahu semua pasukan mempunyai satu mata, jadi kami harus tekal dan kedua, saya percaya kedudukan akan berubah.

"Saya percaya bahawa keputusan perlawanan pertama tidak akan menentukan keputusan dalam perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Stadium Memorial Rizal di Manila, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee berkata bahawa pihaknya mengambil keputusan untuk berlatih di venue perlawanan walaupun terpaksa berlatih di bawah cuaca panas pada pukul 10 hingga 11 pagi -- panas teriknya seperti waktu tengah hari di Malaysia.

Pasukan yang mahu menggunakan padang di Stadium Memorial Rizal untuk latihan hanya boleh berbuat demikian pada waktu pagi kerana terdapat perlawanan waktu petang di venue itu setiap hari.

“Sebelum tiba, kami diberi pilihan, iaitu mereka membenarkan kami berlatih di padang latihan yang agak jauh di mana memerlukan lebih kurang tiga jam untuk pergi dan balik atau di sini.

"Jadi apabila kami tiba di sini, kami meminta untuk berlatih pada sebelah pagi kerana jarak (berjalan kaki ke mari) dari hotel penginapan amat dekat.

"Kami harus memilih sama ada mahu berlatih di bawah matahari, ataupun berlatih di tempat yang begitu jauh. Jadi saya memilih untuk berlatih di sini walaupun pukul 10 hingga 11, tetapi latihan sejam ini amat penting,” katanya.

Sementara itu, pengendali itu berharap tiga pemain negara yang mengalami kecederaan ringan, Muhammad Daniel Amier Norhisham, Mohamed Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan mampu pulih dalam masa dua hari ini sebelum bertemu Filipina.

-- BERNAMA