Bola sepak: Kim Swee optimis Wan Kuzain mampu atasi masalah pasport

Oleh Bernama 12 November 2019 777
Bola sepak: Kim Swee optimis Wan Kuzain mampu atasi masalah pasport
Ketua jurulatih skuad bola sepak B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, optimis bintang muda Malaysia yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, dapat menyelesaikan masalah pasportnya untuk mewakili negara dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang bermula 25 November ini.

Kim Swee mendedahkan beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa pemain kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu dapat beraksi dalam Sukan SEA 2019, namun beliau difahamkan pemain berusia 21 tahun itu sedang berusaha menyelesaikan masalah pasportnya.

"Jika semuanya berjalan lancar, Wan Kuzain akan tiba sebelum penghujung minggu ini. Jika dia tidak menyelesaikan dokumen tertentu atau mendapatkan jalan keluar terbaik bagi kedua-kedua pihak, kemungkinan Wan Kuzain akan terkeluar daripada pasukan B-22 kebangsaan," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan skuad B-22 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sementara itu, Kim Swee memaklumkan enam pemain skuad B-18 negara, termasuk seorang muka baru, iaitu penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil, bakal melaporkan diri untuk sesi latihan skuad B-22  Khamis ini setelah  beraksi dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja minggu lalu.

"Saya memberi waktu rehat supaya mereka kekal cergas apabila bersama kami Khamis ini.

"Saya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Petaling Jaya City FC, Jumaat ini dan daripada perlawanan itu, saya akan menggugurkan beberapa pemain dan seperti saya katakan (sebelum ini), bukan slot automatik dan mereka harus bersaing. Jika mereka menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan mahupun perlawanan persahabatan, mereka akan terpilih," jelasnya.

Wan Kuzain yang beraksi dengan pasukan Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City, sebelum ini dilaporkan menyatakan hasrat beraksi dengan dengan skuad B-22 kebangsaan memandangkan saingan MLS berhenti rehat.

Pemain muda berkenaan yang masih memegang pasport Malaysia, bagaimanapun dilaporkan berdepan masalah selepas pasportnya dikatakan telah tamat tempoh dan dia perlu kembali ke negara ini secepat mungkin untuk memperbaharuinya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan kempen menentang Myanmar (25 November), Filipina (29 November), Timor-Leste (2 Disember), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Kemboja (4 Disember). Kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Juara bertahan, Thailand, pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di Stadium Binan, Laguna.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik dari Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijangka berlangsung 7 Disember ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen