"Jangan tambah kekecewaan ini," itu luahan jurulatih skuad Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee, yang tidak memberi banyak pilihan ketika berdepan Timor Leste esok selain memastikan pasukannya melepasi peringkat kumpulan.

Melewati banyak pengalaman dalam saingan di peringkat Asia Tenggara, Kim Swee tidak mahu kegagalan sebagai penutup akhir kelibatnya dalam temasya dwitahunan itu.

Beliau turut menegaskan apa jua cara sekalipun, skuad bimbingannya itu perlu segera bangkit untuk tidak terus membiarkan penguasaan pihak lawan ketika mereka dilabel selaku pilihan kejohanan.

"Saya tidak berasakan ia mengganggu saya. Saya yakin pemain-pemain akan bangkit menampilkan permainan terbaik. Jika kami gagal melepasi peringkat kumpulan, saya semestinya amat kecewa," kata Kim Swee.

Pengendali kelahiran Melaka itu turut mempertaruhkan formasi berbeza, dengan perubahan barisan pemain yang berbeza demi memenuhi tuntutan kemenangan seperti yang dimahukan.

"Kami memerlukan jaringan, jadi pendekatannya mungkin berbeza. Pada masa yang sama, kami mesti seimbang dengan pertahanan, jadi kami tidak terperangkap dalam serangan balas.

"Kami tidak boleh memandang rendah Timor Leste. Bagi saya, kita harus menghormati pasukan lawan tetapi pada masa sama, kita masih boleh mencapai hasil yang kita mahukan," katanya.

Setakat ini, Timor Leste masih gagal mengutip sebarang mata dan Malaysia berhadapan misi penting untuk mencetak kemenangan besar bagi menghidupkan peluang lolos ke separuh akhir.