Lima pemain digugurkan daripada kem latihan pusat bagi menghadapi Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, sebelum ini memanggil 29 pemain bagi menyertai kem latihan pusat yang bermula 4 November lalu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media memaklumkan keputusan menggugurkan lima pemain berkenaan dibuat selepas aksi persahabatan menentang PJ City FC di Stadium Arena MPSJ, Subang Jaya, petang semalam.

Lima pemain itu terdiri daripada Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Amirul Ashraf Ariffin (Selangor), A Shivan Pillay (PKNS FC), Nik Azli Nik Alias (Kelantan) dan Haziq Subri (Perak).

Selain 24 pemain yang dikekalkan, pemain berusia B-22 daripada skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menyertai skuad B-22 Rabu ini, sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.

Kim Swee hanya akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA pada Jumaat ini, iaitu sehari sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Manila untuk menghadapi perlawanan pertama menentang Myanmar pada 25 November di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste manakala juara bertahan, Thailand, pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei di Stadium Binan.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijadualkan pada 7 Disember.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah tewas 0-1 kepada Thailand dalam final di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA