Kelebihan beraksi di pelbagai posisi menjadi faktor pemain kacukan Australia-Malaysia, Quentin Cheng, dipilih untuk menyertai sesi latihan skuad B-22 kebangsaan menghadapi Sukan SEA Filipina 2019 yang bermula malam tadi.

Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain berusia 20 tahun itu yang mewakili kelab B-21 Australia, Central Coast Mariners, boleh beraksi di pelbagai posisi, termasuk pertahanan dan sayap, sekali gus memberi pilihan kepadanya sekiranya ada pemain utama yang mengalami kecederaan.

Beliau, bagaimanapun menegaskan Cheng dan 27 pemain lain yang dipanggil dalam sesi latihan kali ini perlu memberikan aksi terbaik untuk disenaraikan dalam skuad akhir 20 pemain.

"Sebelum ini, dia bersama skuad B-19 dan saya rasa dia layak diberi peluang dalam panggilan kali ini dan kami akan tengok macam mana persembahannya (dalam sesi latihan)," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.

Seramai 23 pemain melaporkan diri dalam sesi latihan berkenaan dan lima pemain selebihnya akan berbuat demikian selepas membantu skuad B-18 negara setelah berakhirnya pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Phnom Penh, Kemboja, Rabu depan.

Baki dua pemain lebih umur bakal diputuskan Kim Swee selepas dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 November ini.

Dalam pada itu, Kim Swee mengesahkan skuadnya bakal diuji dalam aksi pemanas badan menentang sebuah pasukan tempatan minggu depan sebelum berlepas ke Manila, 23 November ini, namun enggan mendedahkan nama pasukan berkenaan.

Ditanya mengenai aksi pembukaan Sukan SEA menentang Myanmar pada 25 November ini, beliau mendedahkan pasukan berkenaan yang sedang menjalani latihan fasa akhir di Qatar adalah pencabar utama Malaysia dalam Kumpulan A, namun yakin barisan pemain yang dipanggil kali ini dapat memberi saingan untuk meraih keputusan positif.

Sementara itu, pemain tengah Pahang, Mohamad Faisal Abdul Halim,21, bertekad merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Dia yang mesra dengan panggilan 'Mickey' dalamkalangan rakan sepasukan menegaskan walaupun pernah dipanggil dalam sesi latihan skuad berkenaan sebelum ini, ia bukan jaminan bagi dirinya untuk dipilih dalam senarai akhir 20 pemain ke temasya dwitahunan berkenaan.

Berbeza pula dengan pandangan pemain muda Kedah, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, 21 yang teruja dapat disenaraikan dalam sesi latihan kali ini dan bertekad membuktikan kelebihan yang ada padanya bagi memikat hati jurulatih kelahiran Melaka itu untuk terpilih ke Manila.

"Dalam pasukan Kedah, saya sudah buktikan apabila jurulatih (Aidil Sharin Sahak) kerap memberi peluang saya beraksi dengan pasukan utama dan saya cuba buktikan saya boleh lakukan perkara yang sama bersama skuad B-22 kebangsaan," jelas pemain tengah Kedah itu yang sebelum ini pernah terpilih untuk sesi latihan skuad B-22 ke Kejohanan Piala Newspaper B-21, tahun lalu.

Selepas aksi menentang Myanmar, Malaysia bakal bertemu tuan rumah, Filipina, dua hari kemudian, disusuli perhitungan dengan Timor-Leste (2 Disember) sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal dengan menentang Kemboja pada 4 Disember dengan kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Juara bertahan Sukan SEA, Thailand, pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di Stadium Binan, Laguna.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik dari Kumpulan A dan B akan layak ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA