Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, bimbang dengan kelewatan tuan rumah Sukan SEA, Filipina, yang masih gagal menyediakan jadual perlawanan rasmi yang mampu mengganggu persediaan skuad kebangsaan.

Genap seminggu sebaik tamat undian Sukan SEA 2019, Kim Swee masih belum menerima sebarang jadual terkini, venue serta masa perlawanan menjelang saingan yang bakal bermula bulan depan itu.

Merujuk kebiasaan, perkembangan rasmi melibatkan jadual dan waktu perlawanan diterima selewat-lewatnya dua hari selepas majlis undian berlangsung, namun ia tidak dikeluarkan seperti yang sepatutnya kali ini.

"Kebiasaannya jadual dikeluarkan lebih awal bagi memastikan setiap pasukan lebih bersedia dengan cara dan waktu latihan selain jarak di antara tempat penginapan dan venue perlawanan," katanya.

"Namun, kami terpaksa menunggu daripada pihak penganjur dan saya difahamkan selewa-lewatnya akan diberitahu hujung bulan ini."

Walaupun Malaysia dilabel pasukan pilihan dalam kumpulan yang diundi, Kim Swee tidak mahu mudah selesa dengan keadaan sambil menegaskan setiap perkembangan sepanjang di Filipina mampu mempengaruhi keperluan skuad negara.

"Kalau mengikut kebiasaan, jika jadual tidak dikeluarkan, mungkin akan ada perubahan. Namun, kami perlu bersedia dan terima secara positif tanpa memikirkan perkara lain. Saya percaya ia bukan sahaja memberi impak kepada kami tetapi lawan juga terkesan."

Sementara itu, pengendali itu mempertahankan tindakan yang diambil sekiranya hasrat untuk mendapatkan khidmat Wan Kuzain Wan Kamal diteruskan.

Sesetengah pihak menganggap keadaan itu mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain tempatan yang sudah berusaha dari awal untuk mencuri slot, namun Kim Swee memiliki sebab tersendiri.

Nama Wan Kuzain sudah pun dihantar dalam senarai 40 pemain ke Sukan SEA dan jika ia berlaku, dia hanya akan tiba kurang 10 hari sebelum skuad negara berlepas ke Filipina.

Dalam masa sama, Kim Swee turut mengakui beberapa pemain daripada skuad B-19 berada dalam senarai yang dimaksudkan, termasuk penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin.

"Saya harap jika Wan Kuzain dipilih, ia bukan secara automatik. Jika dipanggil, diharap dia membuktikan ingin bermain bersama skuad kebangsaan satu hari nanti," tambah Kim Swee.

"Saya akan tentukan selepas saingan kelayakan Kejohanan AFC, di mana saya mahu pemain fokus. Itu lebih penting berbanding pemilihan ke Sukan SEA."