Kekalahan 0-1 kepada tuan rumah, Filipina, dalam aksi Kumpulan A, Sukan SEA Ke-30 di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam tadi, merupakan tanggungjawab bersama semua pemain.

Tonggak tengah negara, Syamer Kutty Abba, berkata tiada mana-mana individu boleh dipersalahkan di atas prestasi hambar pasukan negara dalam kempen kali ini kerana ia merupakan acara berpasukan.

"Kami ingin meminta maaf kerana kalah aksi ini. Secara peribadi, saya sendiri berasa malu kerana ini bukan tahap sebenar kami.

"Kesemua pemain yang beraksi bertanggungjawab di atas kekalahan ini. Kami perlu meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya dan perlu bekerja sebagai sebuah pasukan kerana kami masih ada peluang,” katanya hari ini.

Pemain berusia 22 tahun tersebut juga agak kecewa kerana edisi kali ini merupakan Sukan SEA terakhir bagi dirinya ekoran had umur bagi acara bola sepak lelaki temasya dwitahunan itu adalah 22 tahun dan ke bawah.

Bagaimanapun, dia percaya masih ada peluang bagi pasukan negara untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Selepas terikat 1-1 menentang Myanmar dalam aksi pertama Isnin lalu, Malaysia kini menduduki tangga keempat dengan satu mata manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata, diikuti Kemboja dan Filipina yang masing-masing meraih empat mata sementara Timor Leste berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Dengan hanya dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir, Malaysia harus mencatatkan kemenangan ke atas Timor Leste, Isnin ini, dan Kemboja, dua hari kemudian bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya, namun ia bergantung kepada keputusan perlawanan lain.

-- BERNAMA