Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tetap bersikap positif dengan persiapan pasukannya walaupun terdapat perbezaan jauh dengan beberapa negara lain termasuk Myanmar sebagai lawan pertama dalam Sukan SEA Filipina, hujung bulan ini.

Skuad B-22 negara memulakan latihan hari pertama malam tadi sebagai persediaan menghadapi temasya edisi ke-30 itu.

Sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu membabitkan 23 pemain tanpa beberapa pemain yang perlu membarisi skuad senior kebangsaan dan skuad B-19 negara.

Ia berbeza dengan pasukan seperti Vietnam dan Myanmar apabila mereka sudah bersama lebih awal selain menjalani latihan di luar negara.

Pengendali dari Melaka itu, bagaimanapun, enggan menjadikan situasi berkenaan sebagai isu besar walaupun berdepan ranjau menjelang aksi pertama.

"Kami tidak boleh mengambil mudah kerana Myanmar kini menjalani sesi latihan pusat di Qatar," katanya malam tadi.

Tumpuan Kim Swee dalam sesi awal kali ini adalah untuk memastikan kecergasan pemainnya berada di tahap terbaik.

Ia susulan rata-rata anak buahnya sudah lama tidak beraksi sejurus cabaran dengan pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia berakhir awal.

"Esok (hari ini) kami akan mengadakan ujian tertentu untuk menilai tahap kecergasan pemain dan daripada situ, saya membahagikan corak latihan mereka.

"Kemungkinan mereka akan dibahagikan kepada latihan berasingan jika ada pemain yang (kecergasannya) didapati masih di tahap yang kurang memuaskan."