Tonggak Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, muncul pemain senior pertama yang dipanggil Datuk Ong Kim Swee untuk menjalani latihan bersama skuad B-22 negara menghadapi Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebentar tadi, pemain berumur 24 tahun yang boleh beraksi di bahagian tengah dan pertahanan itu tidak menduga akan diberi peluang untuk kempen skuad negara di Manila kelak dengan berkata: "Saya agak terkejut mendapat panggilan ini memandangkan ramai calon pemain senior yang boleh disenaraikan.

"Saya amat bersyukur diberi kepercayaan untuk membarisi skuad Sukan SEA."

Irfan optimis Malaysia mampu membawa pulang ibu segala pingat itu sejak kali terakhir memenanginya pada 2011.

"Peluang negara agak terbuka kerana memiliki barisan pemain muda yang bagus dan ada yang sedang memperkuatkan skuad senior.

"Kami boleh berikan tentangan yang baik," katanya.

Skuad negara akan membuka kempen dengan membuat perhitungan dengan Myanmar pada 25 November sementara skuad wanita pula akan menentang tuan rumah, Filipina, pada 29 November.