Penyerang kelab Liga J2 Jepun, Hadi Fayyafh Abdul Razak, memberi jaminan dia tidak makan angin bersama Fagiano Okayama dan bersedia untuk menjadi penggempur utama skuad Sukan SEA 2019 negara.

Hadi tidak berselindung di sebalik kesukaran untuk memecah masuk ke dalam kelompok skuad utama Fagiano.

Sejak menandatangani kontrak profesional bersama kelab itu hujung tahun lalu, penampilan kompetitifnya terhad bersama skuad simpanan.

Sungguhpun begitu, Hadi menegaskan minit permainan yang diperoleh tetap berkualiti dan berharga untuk membantu skuad B-22 negara.

"Walaupun tidak beraksi dalam skuad utama, saya dapat beraksi bersama skuad simpanan dalam setiap perlawanan dan tahap kecergasan saya berada di tahap terbaik," katanya.

"Saingan di Jepun adalah antara saingan yang paling kompetitif di Asia dan perlawanan di antara pasukan simpanan turut menghadirkan kualiti."

Hadi turut menjelaskan bahawa dia sedar tiada jaminan buatnya berada dalam penerbangan ke Filipina bagi misi memburu pingat emas Sukan SEA.

Jika dipilih, dia melihat kepada keperluan untuk menyumbang kepada tuntutan pasukan berbanding kemahuan peribadi.

"Saya mampu menjaringkan gol tetapi perkara paling penting adalah keserasian di atas padang. Setiap pemain ada kelebihan masing-masing dan sedia menampilkannya."