Kapten skuad bola sepak B-22 negara, Adam Nor Azlin, mengharapkan semua pihak agar memberikan ruang kepada barisan pemain setelah mereka gagal mempamerkan aksi terbaik menentang Myanmar dalam perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina petang semalam.

Pertahanan tengah itu mengakui pemain-pemain ketika ini masih mencari keserasian susulan seri 1-1 dalam pertemuan pembukaan kempen itu.

Apatah lagi, benteng negara menampakkan kegoyahan sehingga acap kali diasak anak buah Velizar Popov itu, mujur penjaga gol, Haziq Nadzli, menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan.

Adam yang diberikan amanat sebagai kapten akan berusaha memperbaiki keserasiannya bersama Dominic Tan dalam baki tiga perlawanan peringkat kumpulan.

"Secara peribadi, saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia.

"Saya sendiri gagal membantu pasukan.

"Kami perlu memperkemaskan permainan dalam perlawanan seterusnya, Insya-Allah kami akan bermain dengan lebih baik ketika menentang Filipina," katanya selepas perlawanan.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kini mempunyai tempoh rehat tiga hari sebelum membuat perhitungan dengan tuan rumah, Filipina, Jumaat ini.

"Kami perlu cepat serasi dan kami perlu menang ketiga-tiga baki perlawanan," katanya lagi.