Pengendali skuad bola jaring negara, Tracey Robinson, mempertaruhkan tiga muka baru daripada 12 pemain terbaik yang dipilih untuk membantu pasukan mempertahankan pingat emas Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Tracey menyenaraikan tiga pemain muda untuk dipertaruhkan dalam temasya dwitahunan itu selepas masing-masing membuktikan prestasi cemerlang dalam setiap persembahan mereka musim ini.

Pengendali kelahiran Australia itu bakal mengumumkan senarai 12 pemain terbaik yang akan dibawa ke Filipina untuk menghadapi misi penting negara.

Tracey merupakan antara watak penting dalam kejayaan skuad negara ketika menjuarai Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun tanpa pingat emas di peringkat Asia Tenggara.

"Saya berasakan muka baru menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan. Mereka bekerjasama dengan baik dengan pemain senior.

"Pemain senior pula berpengalaman luas dan tahu jangkaan di atas gelanggang. Pemain muda ini bukan sahaja gigih berlatih, malah berusaha keras untuk menempatkan diri sebagai tujuh pemain utama.

"Ia satu proses pembelajaran buat mereka, bahkan ia satu pengalaman buat pemain senior untuk sentiasa bekerjasama dengan pemain-pemain berbeza," katanya.

Sementara itu, atlet negara, Nur Fariha Razak, mengakui lima pemain baru yang menyertai latihan skuad kebangsaan memiliki kelebihan tersendiri selain tidak gusar tentang keserasian antara mereka.

"Saya perlu terus meningkatkan persembahan berdasarkan kejohanan yang disertai, termasuk kecergasan.

"Secara jujurnya, pemain muda juga bagus selain memiliki kecergasan yang tinggi tetapi kami bersaing secara hebat," katanya.