Skuad bola jaring negara memulakan kempen dalam Sukan SEA Filipina dengan langkah kanan apabila menewaskan Thailand 62-42 di Kompleks Sukan Santa Rosa hari ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Tracey Robinson, masih belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

"Ia merupakan aksi yang kurang kemas berbanding apa yang kami jangkakan dalam perlawanan pembukaan Sukan SEA.

"Kami memulakan perlawanan dengan perlahan tetapi menamatkannya dengan amat baik.

"Kami perlu mengekalkan prestasi yang baik seperti dalam suku keempat," katanya

Menjelang perlawanan kedua menentang tuan rumah, Filipina, malam esok, Robinson menjangkakan aksi yang lebih sengit dengan sokongan padu penyokong pasti akan meningkatkan semangat pasukan lawan itu.

"Kami menyaksikan perlawanan di antara Filipina dan Singapura sebelum kami beraksi.

"Kami sudah mendapat bayangan mengenai cabaran yang akan kami lalui.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana penyokong tuan rumah pasti akan membantu pasukan mereka.

"Tetapi saya yakin pemain kami akan dapat menyerap tekanan dalam perlawanan itu," tambahnya.