Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) akhirnya mengumumkan 12 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina 2019 hujung bulan ini.

PBJM mengekalkan 10 pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu dan menyenaraikan dua muka baru, Khairunnisa Nazri dan Noor Azilah Aziz bagi menambah kekuatan pasukan di Filipina nanti.

Presiden PBJM, Alwiyah Talib, berharap skuad negara mampu mempertahankan pingat emas yang diraih selepas 16 tahun itu dalam edisi kali ini.

"Sudah tentu kami ke Manila untuk meraih kemenangan. Kami mahu membuktikan kelangsungan kejayaan di Kuala Lumpur 2017 akan diteruskan di Manila," katanya.

Sementara itu, penjaga gol negara, Noramirah Dayana Noor Azhar, tidak terbeban dengan status selaku juara betahan, malah menganggap bermain di laman sendiri lebih sukar.

Amirah juga menyifatkan kehadiran dua pemain baru itu dapat membantu pasukan selepas masing-masing menonjolkan prestasi yang baik dalam latihan.

"Sebagai tuan rumah, ia seharusnya membuatkan mereka lebih tertekan dan bertandang ke Manila memudahkan pasukan Malaysia untuk memberikan tumpuan bagi meraih pingat emas," kata Noramirah.

Sementara itu, pasukan Kuala Lumpur berjaya meraih kejuaraan buat tiga tahun berturut-turut, sekaligus mencatat kemenangan ke-35 dalam Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2019.

Meskipun pasukan itu hanya mempertaruhkan pemain B-21 tahun, pengendali Kuala Lumpur, Norizan Rajab, tetap berpuas hati dengan prestasi mereka yang kini sedang membuat persiapan awal menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

"Rahsia kami adalah menjalani latihan yang konsisten dan kemenangan ini adalah hasilnya," katanya.