Skuad bola jaring negara membawa misi serampang dua mata menjelang perlawanan akhir esok apabila bukan sahaja turun untuk mempertahankan pingat emas, malah mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam kempen Sukan SEA kali ini.

Ia bukan perkara mustahil apabila dua tahun lalu ketika di Kuala Lumpur 2017, Malaysia menang kesemua perlawanan di peringkat kumpulan serta cemerlang di peringkat kalah mati sebelum merampas emas daripada penyandang, Singapura.

Untuk kempen kali ini, skrip sama mungkin berulang, dengan kesemua empat perlawanan diharungi skuad Tracey Robinson itu sebelum ini berakhir dengan kemenangan dan kini mereka hanya perlu menundukkan Singapura dalam final, bukan sahaja bagi mengekalkan status sebagai juara, malah lebih manis menamatkan saingan dengan rekod kebal tanpa kalah.

"Ia merupakan satu pencapaian melangkah ke final, namun ia tidak memadai buat skuad Malaysia. Saya akan menjelaskan esok sama ada kami mencapai sasaran atau sebaliknya," kata Robinson.

Biarpun pernah menumbangkan Singapura sebelum ini di peringkat kumpulan, barisan pemain negara juga berwaspada dengan kemampuan seteru dari Seberang Tambak itu yang mampu menggugat misi emas mereka di Filipina.

Tiada rombakan besar-besaran akan dibuat Robinson menjelang perlawanan akhir di Kompleks Sukan Santa Rosa esok.

Malaysia sebelum itu menundukkan Brunei dalam separuh akhir dengan keputusan 64-40.

"Ramai yang sering mengingatkan kami dengan kemenangan dua tahun lalu tetapi kini sudah 2019. Lawan sudah mula meningkatkan kualiti permainan, sama juga dengan Malaysia," kata pemain negara, An Najwa Azizan.