Bola jaring: Malaysia mara ke final

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2019 402
Bola jaring: Malaysia mara ke final
MALAYSIA 64 BRUNEI 40

Malaysia hanya selangkah lagi untuk misi mempertahankan emas acara bola jaring apabila mudah menundukkan Brunei  64-40 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna hari ini.


Ia merupakan aksi ulangan perlawanan peringkat kumpulan, dengan Malaysia membawa kelebihan psikologi selepas melakar kemenangan 69-23 tempoh hari.

Tiada kelibat penjaring prolifik, Norashikin Kamal Zaman, dalam senarai pemain utama, justeru kesempatan itu digunakan sebaik mungkin Brunei yang dibimbing Searl Jane untuk mengubah pendekatan dengan menghalang beberapa percubaan berbahaya jentera serangan.

Bagaimanapun, skuad negara memastikan mereka tetap mendahului suku pertama dengan keputusan 17-13.

Aksi suku kedua menyaksikan Brunei meningkatkan serangan untuk merapatkan jurang mata, namun Malaysia kekal fokus untuk memastikan kelebihan dengan kedudukan 33-21.

Permainan semakin rancak dalam suku ketiga dengan Brunei masih tidak berputus asa mencipta kejutan ke atas skuad negara, namun kemasukan Norashikin menambahkan sengat setelah An Najwa Azizan dikeluarkan dan Malaysia terus menjarakkan mata menjadi 55-29.

Slot ke final semakin hampir apabila barisan negara tidak memberikan ruang buat pemain Brunei dan akhirnya menamatkan saingan dengan keputusan 64-40.

Lawan Malaysia dalam final adalah pemenang di antara pasukan pilihan, Singapura, menentang Thailand.

"Saya tidak berminat dengan keputusan permainan dan lebih mengutamakan prestasi dalam setiap perlawanan. Saya berharap untuk melakukan lebih baik esok," kata ketua jurulatih negara, Tracey Robinson.

"Tidak dinafikan corak permainan Malaysia kurang cemerlang. Kami akan berusaha untuk menampilkan yang lebih cemerlang ketika aksi final," kata An Najwa.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen