MALAYSIA 48 SINGAPURA 42

Skuad bola jaring negara membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Ke-30 dengan menewaskan musuh tradisi, Singapura, 48-42 dalam aksi final sebentar tadi.


Lebih manis, keputusan diraih itu menyaksikan skuad negara mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen temasya dwitahunan itu.

Beraksi di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, Manila, seperti dijangka perlawanan berlangsung sengit dan penuh mendebarkan sejurus wisel permulaan ditiupkan.

Dalam aksi kejar-mengejar mata itu, skuad bimbingan Tracey Robinson berkenaan dilihat agak goyah dalam suku pertama apabila ketinggalan 12-13.

Percaturan Robinson dalam suku kedua lebih berhasil apabila anak didiknya mempamerkan aksi lebih kemas, namun belum cukup untuk memintas Singapura apabila kedua-dua pasukan terikat 21-21 menuju waktu rehat.

Taktikal pengendali dari Australia itu yang membuat beberapa pertukaran strategi, termasuk menukarkan posisi pemain senior, An Najwa Azizan daripada Goal Attacker (GA) kepada Goal Shooter (GS), nyata membuahkan hasil sehingga membolehkan skuad negara unggul melebarkan jurang 40-30 dalam suku ketiga.

Dominasi itu kemudian berterusan dalam suku terakhir dan dengan ketinggian dimiliki pemain kebangsaan, ia menjadi kelebihan yang jelas menyukarkan lagi kebangkitan Singapura.

Untuk rekod, kejayaan yang diraih hari ini merupakan pingat emas ketiga skuad bola jaring selepas memenanginya dalam edisi 2001 dan 2017, iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Singapura, yang juga finalis dua tahun lalu terus kempunan untuk merampas kejuaraan selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015.

Pingat gangsa menjadi milik bersama Thailand dan Brunei yang tewas dalam aksi separuh akhir semalam.

-- BERNAMA