Bola Jaring: Keyakinan kunci kemenangan 

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2019 767
Bola Jaring: Keyakinan kunci kemenangan 
Skuad bola jaring wanita negara mengukuhkan reputasi sebagai pasukan terbaik rantau Asia Tenggara apabila mempertahankan pingat emas ketika menentang seteru utama, Singapura, dalam aksi yang cukup dramatik di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna hari ini. 

Biarpun memiliki kelebihan psikologi berdasarkan kemenangan ke atas pencabar utama berkenaan di peringkat kumpulan, pemain negara tampak gugup dalam babak pertama dan permainan semakin sengit dalam suku kedua dengan Malaysia memberikan tentangan untuk mengikat keputusan 21-21. 

Ketumpulan jentera serangan pasukan kebangsaan mendorong jurulatih, Tracey Robinson,  untuk membuat beberapa pertukaran pemain serta posisi dan pendekatan tersebut berhasil buat Malaysia.

Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan dengan Singapura semakin merapatkan jurang, namun juara dua edisi lalu itu terus fokus untuk memastikan emas dalam genggaman dengan kemenangan 48-42.

"Saya tahu betapa bagusnya pemain saya, ia hanya mengenai soal keyakinan mereka. 

"Saya sedar pada awal permainan ia akan menjadi agak goyah tetapi selepas separuh masa, kami mampu memperagakan aksi yang hebat. 

"Pujian harus diberikan kepada pemain yang bekerja keras untuk berada di tahap ini sejak muncul juara edisi lalu.

"Juga terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan hebat yang diberikan. Sekali lagi pujian buat pemain kerana menjelmakannya di atas gelanggang," kata jurulatih dari Australia itu. 

Sementara itu, pemain negara, Karisma S. Loganathan, pula menyimpulkan: "Sebelum dimasukkan, saya mengkaji corak permainan pihak lawan dan yakin dapat beraksi baik dalam suku ketiga dan ia menjadi."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen