MALAYSIA 69 BRUNEI 23

Misi emas skuad bola jaring Malaysia diteruskan dalam Sukan SEA Filipina 2019 dengan terbaru menjadikan Brunei sebagai mangsa apabila melakar kemenangan 69-23 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, sebentar tadi.


Malaysia memburu kemenangan ketiga di peringkat kumpulan apabila sebelum ini mudah menundukkan Thailand dan Filipina.

Di atas kertas, Malaysia seharusnya tidak menghadapi masalah untuk mencapai misi itu biarpun lawan diperkuatkan dengan kehadiran Puteri Fadzillah Lubalbul Bolkiah.

Suku pertama menyaksikan rangkaian serangan yang dibarisi An Najwa Azizan, Nur Fariha Abdul Razak dan Norashikin Kamaruzaman cemerlang membantu Malaysia mendahului 17-5.

Tiada pertukaran drastik dilakukan oleh jurulatih, Tracey Robinson, dalam suku kedua, dengan Malaysia terus mengasak kubu Brunei dan akhirnya kedudukan menjadi 36-15.

Brunei tampak bergelut untuk mendapatkan jaringan dan Malaysia menggunakan kesempatan itu sebaik-baiknya dalam babak ketiga, kali ini terus garang dengan mendahului 53-18.

Memasuki suku keempat, Malaysia semakin yakin untuk melakar kemenangan dengan jurang mata yang besar meninggalkan Brunei apabila menoktahkan aksi dengan keputusan akhir 69-23.

Malaysia selepas ini akan membuat perhitungan dengan seteru ketat, Singapura, esok bagi menentukan kedudukan juara peringkat kumpulan.

"Ia bukan melibatkan lawan yang mudah tetapi kekurangan yang dipamerkan Malaysia. Terdapat aksi yang kurang konsisten dipamerkan skuad negara, namun ia adalah cabaran yang perlu dihadapi dan berusaha memperbaikinya dan menampilkan permainan yang lebih cemerlang," kata Robinson.