Berbasikal: Pelumba senior perkuat skuad negara ke Manila

Oleh Staff Writer 24 Oktober 2019 103
Berbasikal: Pelumba senior perkuat skuad negara ke Manila
Pelumba berbasikal lebuh raya yang akan membawa cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina bulan depan akan dipilih berdasarkan laluan perlumbaan walaupun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah menyenarai awal beberapa pelumba.

Bagi memastikan mencapai sasaran satu emas dalam Sukan SEA, skuad berbasikal lebuh raya menyenaraikan beberapa pelumba senior, antaranya Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki daripada Terengganu Cycling Team (TSG).

Bagaimanapun, ketua jurulatih berbasikal lebuh raya, Mohd Yusof Abdul Nasir, menegaskan pasukan ini belum dimuktamadkan kerana laluan perlumbaan di Filipina nanti dijangka berubah.

"Segala pertukaran akan ditentukan berdasarkan laluan perlumbaan di Manila nanti. Buat masa ini masih tidak dimuktamadkan lagi," katanya.

Tambahnya lagi, beberapa pelumba baru menunjukkan prestasi membanggakan dan mampu menyertai skuad negara seperti Muhammad Danieal Haikal Eddy Suhaidee yang tampil garang menyambar jersi putih ketika Jelajah Semenanjung.

"Kami akan melihat berdasarkan prestasi pelumba negara bersama pasukan masing-masing. Tahap kesihatan turut menjadi keutamaan," kata Yusof.

Setakat ini, pelumba negara, Sofian Nabil, dua pelumba TSG, Amirul Fakhruddin, Mohd Shahrul Mat Amin serta dua lagi pelumba daripada pasukan Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman dan Akmal Hakim Zakaria, disenaraikan untuk saingan Sukan SEA.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen