Pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, bertekad mempamerkan kayuhan terbaiknya dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Masih segar dengan kejayaan meraih tempat ketiga peringkat terakhir saingan Jelajah Semenanjung, Sabtu lalu, pelumba berusia 26 tahun itu telah membuat persiapan rapi dan kini sedang menanti untuk mengerah 100 peratus kudratnya untuk pulang dengan sekurang-kurangnya sebutir pingat emas.

"Saya bukan pakar pendaki tetapi akan berikan 100 peratus untuk sekurang-kurangnya membantu pasukan dalam meraih emas berpasukan (acara lepas beramai-ramai) walaupun sukar untuk memenanginya secara individu.

"Sepanjang perlumbaan Jelajah Semenanjung minggu lalu, prestasi saya berada dalam keadaan baik. Saya boleh kata ini merupakan persediaan yang baik sebelum Sukan SEA,” kata pemenang perak acara omnium lelaki Sukan SEA 2017 itu.

Sofian Nabil menamatkan perlumbaan dari Kuala Lipis ke Setiawangsa di tempat ketiga, ketinggalan 14 saat di belakang pemenang, Cristian Raileanu, daripada pasukan Team Sapura Cycling (TSC) yang mencatatkan 3 jam 19 minit dan 12 saat, sekali gus meraih kedudukan ke-41 secara keseluruhan.

Sementara itu, jurulatih negara, Mohd Yusof Abdul Nasir, berkata dia akan mengumpul barisan pelumba esok untuk menyertai Asian Urban Cycling Championships 2019 di Universiti Negeri Jakarta, Indonesia hujung minggu ini.

Menurutnya, barisan pelumba negara bakal menyertai tiga acara, iaitu ujian masa, lebuh raya dan kriterium.

"Selain prestasi, kami nak membentuk keserasian dan kerja berpasukan antara pelumba kerana skuad Sukan SEA turut dibarisi oleh pelumba daripada dua pasukan profesional, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), selain pelumba pasukan kebangsaan.

"Kami akan fokus lagi untuk memperbaiki pendakian kerana mengikut maklumat asal, laluan Sukan SEA berbukit. Namun, bergantung kepada keadaan kerana dengar ada penukaran laluan turun bukit curam yang bahaya kepada pelumba tetapi tak pasti lagi. Kami tetap bersedia," katanya.

Selain Sofian Nabil, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah menyenaraikan dua pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd Shahrul Mat Amin serta dua lagi pelumba daripada pasukan TSC, Muhammad Zawawi Azman dan Akmal Hakim Zakaria untuk saingan Sukan SEA.

Gandingan Muhammad Fauzan Ahmad Lufti (PDRM), Nik Mohd Azwan Zulkifle serta gandingan adik-beradik, Muhammad Ameen Ahmad Kamal dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal, pula disenaraikan dalam acara ujian masa.

-- BERNAMA