Balamurugan letak sasaran pingat buat kuartet wanita

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2019 65
Balamurugan letak sasaran pingat buat kuartet wanita
Jurulatih skuad pecut negara, M. Balamurugan, mengekalkan sasaran meraih pingat buat kuartet 4x100 meter wanita kebangsaan walaupun hanya melalui tempoh latihan singkat menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Dia menganggap anak buahnya berada di tahap terbaik biarpun sekadar menamatkan saingan dengan catatan 45.97 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka India hujung minggu lalu.

Ia juga merupakan kali pertama barisan pelarinya bergandingan sejak dua tahun lalu.

"Sebelum ini, mereka hanya melakukan larian pendek sahaja.

"Mereka bergandingan buat kali pertama di India, jadi kami boleh nampak kekuatan mereka.

"Apabila mereka melakukan larian penuh, kami akan dapat lihat kekuatan sebenar mereka," katanya.

Kuartet 4x100m wanita negara, yang dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, S. Komalam Shally, Siti Fatimah Mohamad dan Nurul Faizah Asma Mazlan, diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat dalam temasya dwitahunan itu.

"Mereka sekurang-kurangnya perlu mencatatkan (masa) bawah 45 (saat) untuk mendapat pingat dalam Sukan SEA.

"Daripada kejohanan pertama itu, kami sudah boleh nampak setiap kekurangan mereka, jadi kami boleh perbaiki," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen