Barisan perseorangan badminton negara menghadirkan kejutan dalam Sukan SEA Ke-30 apabila Lee Zii Jia dan S. Kisona bakal mencabar pingat emas susulan kejayaan menempatkan diri dalam final.

Zii Jia, pilihan kedua temasya, dijangka berdepan tugas sukar berentap dengan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin.

Bagaimanapun, perkara yang sebaliknya berlaku apabila Zii Jia hanya memerlukan 30 minit untuk menempah tiket ke final menerusi keputusan straight set 21-12, 21-9.

Final bakal mempertemukan Zii Jia dengan wakil Singapura kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew, yang sudahpun tewas di tangan Zii Jia ketika separuh akhir acara berpasukan tempoh hari.

"Saya telah berjaya melangkah ke final, itu adalah sasaran utama dan tidak terlalu memikirkan pingat emas. Saya mahu menikmati perlawanan esok dan cuba melakukan yang terbaik," kata Zii Jia.

"Saingan individu dan berpasukan menghadirkan corak yang berbeza, saya teruja untuk sekali lagi bertemu dengan Kean Yew."

Tetapi kejutan terbesar hadir dalam bentuk Kisona yang membuat Thailand menggigit jari apabila bangkit menyingkirkan pilihan kedua, Nichaon Jindapol.

Nichaon yang memulakan pertemuan dengan langkah kanan hasil kemenangan set pertama 21-11 ibarat terpukau dengan semangat juang Kisona dalam dua set berikutnya.

Selepas merampas set kedua 27-25, Nichaon seperti tidak terdaya menghalang kemaaraan Kisona ke final menerusi kemenangan 21-14 dalam set penentuan.

"Saya tidak meletakkan harapan untuk melangkah ke final, saya cuba menerapkan setiap perancangan dan latihan yang dilakukan sebelum ini.

"Saya menyedari kemampuan lawan saya yang memiliki kualiti yang berbeza tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk tampil cemerlang," kata Kisona.

Sementara itu, dua beregu negara turut layak ke final acara masing-masing.

Dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mara ke final selepas menewaskan pasangan Indonesia, Wahyu Nayaka-Ade Yusuf Santoso, 21-12, 18-21, 21-19.

Mereka akan bertemu beregu Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit, dalam final esok.

"Semua perlawanan sukar tetapi selepas memenangi set pertama, kami terlalu berhati-hati dan melakukan banyak kesilapan," kata Aaron.

Turut ke final ialah beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, yang menewaskan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, 18-21, 21-11, 24-22 untuk bertemu satu lagi seteru daripada negara itu, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dalam final.

"Kami mendahului dengan mata yang banyak dalam set ketiga tetapi agak gusar ketika lawan cuba mengejar mata.

"Mujur pasangan membantu saya untuk bangkit pada penghujung perlawanan.

"Lawan esok amat sukar, jadi kami perlu melakukan yang terbaik," kata Shevon.