Skuad badminton lelaki negara memastikan tiket final acara berpasukan Sukan SEA 2019 selepas mengatasi Singapura 3-0 dalam separuh akhir sebentar tadi.

Malaysia melakukan sedikit rombakan ke atas barisan yang turun menentang Singapura hari ini berbanding skuad yang ditampilkan ketika pertemuan suku akhir dengan Filipina.

Bagaimanapun, tiga taruhan utama kekal bermula dengan perseorangan lelaki pertama, Lee Zii Jia, yang mencongak perhitungan dengan Loh Kean Yew.

Zii Jia tidak berdepan masalah apabila merekodkan kemenangan straight set 21-18 dan kemudian 21-12.

"Masih terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan ini. Ia harus diperbaiki sebelum aksi final," kata Zii Jia.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, turun sebagai wakil kedua negara menentang Terry Hee dan Loh Kean Hean.

Kekalahan set pertama 22-20 tidak bertukar menjadi malapetaka apabila mereka bangkit dalam dua set berikutnya.

Kedudukan menjadi 2-0 buat Malaysia apabila Aaron dan Wooi Yik menang 21-13, 21-16.

"Bermula daripada set pertama, kami memiliki perancangan untuk memastikan kemenangan, namun terlalu berhati-hati hingga memberikan keyakinan kepada lawan," kata Wooi Yik.

"Dalam set kedua, kami melupakan apa yang berlaku selepas ketinggalan satu set dan cuba menampilkan aksi yang lebih cemerlang sebelum mengatasi lawan," kata Aaron pula.

Soong Joo Ven melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Singapura selepas mengatasi Teh Jia Heng 21-14, 8-21, 16-21, sekali gus meraih slot ke final bertemu di antara Indonesia dan Thailand.

Imej: BAM