Pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia, menepati jangkaan apabila mengatasi Loh Kean Yew 21-18, 21-18 dalam aksi final perseorangan lelaki Sukan SEA Filipina di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila sebentar tadi.

Selepas hanya memerlukan 30 minit untuk menyingkirkan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin, dalam separuh akhir, Zii Jia turun berdepan lawan dari Singapura itu yang mengetepikan seorang lagi pemain kebangsaan, Soong Joo Ven, dalam pusingan pertama.

Berada di kedudukan ke-14 dunia jelas memberi kelebihan buat pemain berusia 21 tahun, Zii Jia, apabila mudah meraih pendahuluan 11-6 dalam set pertama sebelum menamatkan saingan 21-18.

Sedar tidak memiliki kedudukan pilihan selain perlu bangkit, Kean Yew -- yang dilahirkan di Pulau Pinang -- bijak mengatur serangan untuk mendahului 8-4 tetapi kesilapan yang kerap dilakukan membolehkan lawannya mengikat kedudukan 12-12.

Zii Jia, yang sebelum ini telah meraih perak menerusi acara berpasukan lelaki dalam saingan di Filipina, menoktahkan kemenangan untuk menjulang emas sulung perseorangan lelaki dalam karier apabila menggunakan kesempatan daripada kesilapan Kean Yew untuk menang straight set 21-18.

"Saya dapat menyaksikan lawan beraksi dalam tekanan dan saya mengambil kesempatan itu untuk bermain dengan lebih cemerlang dan gembira meraih pingat emas ini.

"Ini merupakan kejohanan terakhir saya tahun ini. Selepas ini, saya mahu berehat dahulu kerana ia musim yang padat," katanya.