Badminton: Skuad negara sudah sedia kejar emas

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2019 54
Badminton: Skuad negara sudah sedia kejar emas
Skuad badminton lelaki sudah bersedia dengan cabaran sebenar acara berpasukan Sukan SEA 2019 apabila bakal mencongak perhitungan dengan Singapura dalam aksi separuh akhir esok.

Skuad negara melangkah ke separuh akhir selepas merekodkan kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah, Filipina, dalam suku akhir hari ini.

Barisan kejurulatihan negara terbukti tidak memandang rendah lawan apabila menurunkan barisan utama diketuai perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang menewaskan lawan dari Filipina menerusi keputusan straight set dijangka menerima ujian lebih sukar untuk mencuri mata pertama menentang Singapura apabila berdepan perseorangan terbaik mereka, Loh Kean Yew.

"Kami perlu melihat terlebih dahulu prestasi yang dipamerkan Kean Yew dalam perlawanan esok. Saya teruja untuk berdepannya," kata Zii Jia.

Untuk memiliki laluan mudah ke perlawanan akhir, beregu utama, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, perlu mempamer prestasi sebenar menentang lawan berpengalaman, Terry Hee dan Loh Kean Hean.

Berdasarkan ranking dunia, Aaron dan Wooi Yik (ranking ke-11 dunia) dalam kempen sulung mereka di pentas Sukan SEA memiliki kelebihan berbanding Terry dan Kean Hean yang berada di kedudukan ke-163 dunia.

"Saya berasakan beregu pertama Singapura merupakan antara yang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Ini merupakan kali pertama saya beraksi dalam Sukan SEA dan sedia untuk menghadirkan kemenangan bagi Malaysia," kata Wooi Yik.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen