Skuad badminton lelaki negara memulakan kempen acara berpasukan Sukan SEA Filipina dengan langkah kanan apabila menundukkan pasukan tuan rumah, Filipina, 3-0 dalam suku akhir hari ini.

Lee Zii Jia memulakan dominasi Malaysia dalam acara perseorangan apabila menewaskan Ros Leonard Pedrosa 21-12, 21-8.

Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik, meneruskan penguasaan itu apabila mudah menjinakkan Peter Gabriel Magnaye-Alvin Morada 21-17, 21-14.

Turun selaku perseorangan kedua, Soong Joo Ven mengesahkan kemaraan Malaysia dengan menumbangkan Lanz Ralf Zafra 21-15, 21-17.

"Perlawanan pertama ini mungkin digunakan untuk penyesuaian gelanggang sahaja.

"Gelanggang agak berbeza kerana berangin dan persekitaran yang agak lain.

"Penyokong Filipina juga agak ramai.

"Setakat ini, prestasi saya agak baik," kata Zii Jia.

"Memang kami sudah jangkakan kerana beregu utama mereka agak baik juga.

"Kami tidak memandang rendah mereka dan hanya mengikut perancangan," tambah Aaron pula.