Belum turun ke gelanggang, namun skuad badminton negara sudah mengesahkan satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan wanita selepas lawan dalam suku akhir, Kemboja, menarik diri daripada saingan Sukan SEA 2019.

Bagaimanapun, cabaran di luar gelanggang membabitkan isu pengangkutan dan penjadualan latihan turut menjadi ujian sampingan.

Ini bermakna Malaysia terus menempah tempat ke separuh akhir tetapi berdepan cabaran untuk menukar pingat gangsa menjadi perak atau emas.

Halangan menanti skuad negara yang diketuai pemain beregu senior, Vivian Hoo, adalah Thailand yang merupakan juara bertahan.

Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Thailand muncul juara selepas menewaskan Malaysia menerusi kemenangan 3-1.

"Kami baru mendapat maklumat bahawa Kemboja telah menarik diri dan kami akan terus ke separuh akhir bertemu Thailand. Mereka adalah halangan yang sukar, namun ia tidak bermakna kami akan berputus asa," kata ketua jurulatih perseoranga wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Seu Bock menegaskan pertemuan dengan Kemboja sepatutnya menjadi pemanas badan yang baik sebelum berentap dengan Thailand yang memperoleh laluan percuma ke separuh akhir.

Ia di samping kecelaruan dan kelewatan skuad negara ke venue latihan daripada penginapan rasmi mereka.

Tambah Seu Bock: "Seperti pagi ini, bukan sahaja Malaysia, tetapi hampir keseluruhan pesaing dalam Sukan SEA mengalami masalah pengangkutan ke venue latihan.

"Kami berharap pemain-pemain dapat turun menguji gelanggang kerana terdapat pemain yang baru sahaja tiba awal pagi tadi."