Skuad lelaki negara memastikan tiket final acara berpasukan Sukan SEA 2019 untuk bertemu Indonesia esok selepas mengatasi Singapura 3-0 di peringkat separuh akhir di Kompleks Sukan Muntinlupa, Metro Manila hari ini.

Malaysia melakukan sedikit rombakan ke atas barisan yang turun menentang Singapura berbanding skuad yang ditampilkan ketika pertemuan suku akhir dengan Filipina.

Namun, tiga taruhan utama kekal memulakan permainan dengan perseorangan lelaki pertama kebangsaan, Lee Zii Jia, mencongak perhitungan dengan Loh Kean Yew.

Pemain berumur 21 tahun itu tidak berdepan masalah apabila merekodkan kemenangan 21-18, 21-12.

"Mungkin keadaan angin yang agak pelik (mengganggu permainan saya) dalam set pertama, bukan mudah untuk mengawal keadaan itu selain saya sendiri melakukan banyak kesilapan.

"Cuma dalam set kedua, saya mula mendapat kelebihan lalu menjarakkan kedudukan," katanya.

Seterusnya beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menentang Terry Hee-Loh Kean Hean.

Kekalahan 20-22 dalam set pertama, bagaimanapun, tidak bertukar menjadi malapetaka apabila mereka bangkit dalam dua set berikutnya.

Kedudukan menjadi 2-0 buat Malaysia apabila Aaron-Wooi Yik menang 21-13, 21-16.

"Sejak set pertama lagi, kami sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk bertemu mereka tetapi dalam mata-mata penting, kami lebih kepada mencari jalan selamat sehingga memberikan keyakinan kepada pihak lawan," kata Wooi Yik.

Rakan senegaranya, Aaron, pula berpendapat: "Kami hanya fokus kepada satu persatu mata.

"Kami tidak tertekan kerana sedar akan ada rakan sepasukan lain yang akan turun beraksi selepas kami.

"Jadi, kami bermain secara terbuka."

Sebelum mengesahkan kemenangan 3-0, Malaysia sekali lagi dipaksa mengerah keringat apabila perseorangan, Soong Joo Ven, tewas 14-21 di tangan Joel Koh dalam set pertama.

Seperti Aaron-Wooi Yik, dia mengesahkan dua set selepas itu menjadi miliknya menerusi catatan 21-8 dan 21-16.