Perseorangan wanita negara, S. Kisona, tidak mengambil mudah cabaran berdepan Kemboja dalam saingan pertama acara berpasukan dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Kisona berazam menjadikan penampilan pertamanya dalam temasya dwitahunan itu lebih bermakna dengan menyumbang mata dalam setiap saingan acara berpasukan selain mahu memburu pingat emas acara perseorangan.

Pemain berusia 21 tahun itu diletakkan sebagai sandaran bersama Soniia Cheah selepas pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu, Goh Jin Wei, perlu diketepikan selepas menjalani pembedahan usus.

"Saya tidak memandang mudah cabaran pemain Kemboja dalam acara berpasukan, mereka juga bagus.

"Saya hanya mempersiapkan diri sendiri, mungkin saya dapat sumbangkan satu mata buat pasukan.

"Dalam acara individu pula, saya harap dapat mencapai emas dan sedang membuat persiapan," katanya.

Untuk memastikan impiannya tercapai, Kisona sudah mula mengkaji corak permainan pihak lawan yang akan memberi cabaran di Filipina kelak.

Baginya, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dalam tempoh kurang dua bulan sebelum menghadapi cabaran dalam edisi ke-30 itu selepas mencatat keputusan hambar dalam Kejohanan Terbuka Indonesia, bulan lalu.

"Pesaing dari Singapura, Thailand dan Indonesia pernah bermain di peringkat lebih tinggi manakala saya pula tidak pernah.

"Ia tugas sukar buat saya tetapi saya tetap tidak akan berputus asa.

"Saya ingin melihat sejauh mana kemampuan saya," tambahnya.