Keadaan pemain menjadi kebimbangan utama ketua jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, apabila anak didiknya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bakal mengharungi dua kejohanan penting tanpa rehat.

Beregu utama negara itu bakal menghadapi cabaran getir apabila harus mengharungi Sukan SEA Filipina dari 1 hingga 9 Disember ini sebelum menghadapi Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF bermula 11 Disember di Guangzhou, China.

Bagi jurulatih dari Indonesia itu, disebabkan taraf tinggi kedua-dua kejohanan berkenaan, kondisi Aaron-Wooi Yik menjadi keutamaannya bagi mengelak daripada sebarang kecederaan.

"Apa yang penting ialah keadaan mereka.

"Mereka akan menyertai banyak kejohanan, pasti ada yang menang dan ada pula yang kalah.

"Apa yang kami perlu betul-betul jaga ialah mengelak kecederaan.

"Ini kerana kalau sudah mengalami kecederaan, maka belum dapat dipastikan bilakah mereka akan dapat kembali ke gelanggang lagi," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pada awalnya, Kejohanan Masters Korea Selatan menyaksikan mereka tidak dapat mengesahkan tempat dalam Jelajah Dunia BWF ekoran tewas dalam pusingan kedua kepada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin.

Namun, tuah memihak kepada mereka berikutan wakil Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto, terpaksa diketepikan apabila setiap negara hanya boleh menghantar dua beregu.