Skuad badminton negara akan mencabar empat pingat emas dalam final Sukan SEA Filipina di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menjanjikan satu pingat emas buat kontinjen negara dalam edisi kali ini.

Namun, empat wakil negara mara ke final dalam acara berbeza, sekali gus mencerahkan peluang untuk melangkaui sasaran itu.

Goh Soon Huat-Shevon Lai akan menjadi wakil negara pertama yang akan mencabar emas acara beregu campuran.

Mereka akan menentang pilihan utama dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti.

Berdasarkan tiga pertemuan lalu, pasangan negara tewas dua daripadanya dan ia akan menjanjikan aksi yang lebih sengit dalam final kali ini.

"Lawan agak sukar kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri," kata Soon Huat.

"Saya berasakan wakil Indonesia itu telah mendapatkan tahap keyakinan yang tinggi ," kata Shevon.

Dalam acara perseorangan wanita, S. Kisona akan berdepan sorang lagi lawan bukan pilihan dari Indonesia, Ruselli Hartawan.

Kedua-dua pemain itu melakar kejutan dalam separuh akhir apabila menumbangkan dua pilihan utama dari Thailand untuk ke final.

"Saya pernah bertemu dengannya tapi ia sudah lama dahulu.

"Sekarang mungkin semua sudah berubah.

"Dia juga pemain yang baik, jadi saya perlu menguatkan diri saya daripada aspek mental dan bersedia sebaik-baiknya.," kata Kisona.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, pula akan bertemu perseorangan nombor satu Singapura, Loh Kean Yew.

Zii Jia dilihat melebihi kelebihan psikologi selepas menewaskan lawan itu dalam separuh akhir acara berpasukan minggu lalu.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika saya mahu memenangi pingat emas, saya perlu menewaskan setiap lawan.

"Dia (Kean Yew) sedang bersemangat kerana sudah menewaskan dua pemain pilihan sebelum ini," katanya.

Aksi yang paling ditunggu-tunggu melibatkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Menanti mereka adalah gandingan berpengalaman dari Thailand, Maneepong Jongjit-Bodin Isara, yang menewaskan satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dalam separuh akhir.

"Ia perlawanan yang sukar kerana mereka merupakan pemain berpengalaman dengan strategi di atas gelanggang yang amat bagus.

"Kami perlu bersedia untuk menewaskan mereka," kata Aaron.