Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai hak untuk menetapkan apa sahaja sasaran dalam Sukan SEA 2019 tetapi setiap pemain ke Filipina akan turun dengan kemahuan memburu emas.

Itu penegasan pemain beregu wanita nombor satu negara, Lee Meng Yean, apabila membicarakan soal sasaran skuad badminton dalam temasya dwitahunan itu yang bermula minggu depan.

BAM mengubah sasaran daripada dua pingat emas menjadi hanya satu selepas kehilangan khidmat juara bertahan perseorangan wanita, Goh Jin Wei, untuk kempen kali ini.

Secara keseluruhan, sukan badminton menawarkan tujuh pingat emas dan Meng Yean berasakan tidak mustahil mereka menyumbang pingat emas di sebalik cabaran pasangan pilihan dari Indonesia dan Thailand.

"Sasaran saya adalah meraih satu pingat emas untuk Malaysia. Indonesia dan Thailand adalah pesaing yang mampu kami cabar dan mengatasi mereka bagi memastikan emas buat Malaysia," katanya.

Sukan SEA 2019 bakal menjadi kejohanan terakhir buat Meng Yean dan gandingannya, Chow Mei Kuan, yang kini berada dalam kedudukan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sememangnya, kami perlu meningkatkan lagi tahap keyakinan untuk beraksi dalam kejohanan akan datang. Kami mahu mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik dan berharap untuk mencabar pingat di Tokyo nanti," katanya lagi.