Wakil beregu akan menjadi penentu kepada misi pemburan pingat emas Sukan SEA Filipina bagi kem badminton berpasukan lelaki ketika perseorangan Indonesia memiliki kelebihan ke atas taruhan utama negara.

Pertemuan Malaysia dan Indonesia itu merupakan ulangan final edisi lalu di Kuala Lumpur yang memihak negara jiran itu menerusi kemenangan 3-0.

Pertembungan bakal dimulakan dengan aksi perseorangan, Lee Zii Jia dan Jonatan Christie, yang memiliki kelebihan berdasarkan rekod pertemuan terdahulu tatkala wakil kebangsaan berusia 21 tahun itu tewas empat kali.

"Kemenangan dalam aksi pertama memang satu permulaan baik dan saya meraih keyakinan sebelum berdepan Indonesia. Saya juga dalam keadaan bagus memandangkan kejohanan terakhir adalah sebulan lalu," kata Zii Jia.

Turut berdepan cabaran getir adalah perseorangan kedua, Soong Joo Ven, yang dijadualkan untuk berentap dengan Anthony Ginting yang menduduki ranking kelapan dunia.

Atas dasar itu, Malaysia memerlukan dua gandingan beregu yang diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memastikan mereka menyumbang mata berharga.

"Beregu pertama agak seimbang tetapi beregu kedua memainkan peranan penting. Ia menjadi kunci kepada kekalahan atau kemenangan tetapi bagaimanapun, kedua-dua gandingan penting," ujar Aaron.