Atlet negara tetap semangat buru sasaran

Oleh Staff Writer 26 November 2019 43
Atlet negara tetap semangat buru sasaran
Isu masalah venue Sukan SEA Filipina yang akan membuka tirai Sabtu ini, tidak menjejaskan semangat atlet negara untuk memburu sasaran 70 pingat emas bagi memastikan Malaysia berada dalam kelompok empat negara teratas.

Kritikan mengenai venue, makanan dan pengangkutan antara yang menghantui Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Situasi itu menjejaskan kredibiliti negara tuan rumah berkenaan, namun tidak buat atlet negara.

Majoriti mereka masih belum berlepas ke Filipina dan tetap bersemangat untuk merealisasikan sasaran itu.

"Risau juga mengenai pengangkutan di sana.

"Bagi atlet tinju, pengangkutan amat penting untuk pergi timbang dan untuk berlawan.

"Sebelum berlawan, kami perlu pergi (ke venue) lebih awal," kata peninju negara, James Wong.

"Apa-apa yang berlaku ketika ini, kami perlu fokus.

"Mengenai venue itu, biarlah pihak pengurusan yang uruskan," tambah pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, pula.

Ratusan pegawai sukan negara sudah berada di Filipina untuk mengurangkan beban yang ditanggung atlet.

Malaysia juga sudah membuka sekretariat di luar dan dalam perkampungan sukan bagi memenuhi keperluan atlet di sana.

"Walaupun sekretariat sendiri menghadapi masalah pada mulanya, ia sudah semakin stabil sekarang.

"Sekretariat sedang bergerak untuk membantu atlet-atlet di hotel.

"Di perkampungan sukan, rasanya tiada isu yang besar.

"Daripada aspek makanan, kami telah membekalkan kepada pasukan sekurang-kurangnya makanan segera," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen