Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sekali lagi menolak permintaan tuan rumah, Filipina, untuk mengadakan majlis undian acara itu menjelang Sukan SEA hujung bulan ini memandangkan masih terdapat negara yang belum mengesahkan penyertaaan.

Ia merupakan kali kedua ASTAF menolak permohonan Filipina untuk mengadakan majlis undian.

Undian berkenaan sepatutnya diadakan pada 15 Oktober lalu, namun ASTAF membantah tarikh berkenaan kerana ia mendahului tarikh tutup penyerahan senarai akhir atlet yang ditetapkan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Bagaimanapun, pindaan tarikh itu kepada Selasa lalu turut tidak diterima ASTAF dengan alasan masih terdapat negara yang gagal mengemukakan senarai penyertaan atlet masing-masing.

"Saya hanya akan mengendalikan acara undian itu apabila menerima semua senarai penyertaan daripada PHISGOC untuk dikemas kini," kata Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Dengan itu, badan induk berkenaan menetapkan segala undian untuk acara sepak takraw akan dijalankan di Subic, 29 November ini -- dua hari sebelum saingan bermula.

"Saya fikir ia lebih sesuai kerana semua perwakilan akan berada dalam majlis tersebut dan ia akan menjadi majlis undian yang lebih telus," tambahnya.