Hanya meraih tempat keempat dalam penampilan sulung saingan Sukan SEA tidak mematahkan semangat atlet angkat berat negara, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri, untuk terus bersaing dalam temasya seterusnya.

Bagi kategori 45 kilogram wanita, Nurul Afiqah yang melakukan penampilan sulungnya dalam temasya itu hanya mampu meraih tempat keempat sambil bagi angkatan snatch, dia hanya mampu mengangkat 59 kg manakala angkatan clean and jerk menyaksikannya menamatkan angkatan 77 kg.

Kedua-dua angkatan itu hanya membolehkan Nurul Afiqah mengutip 136 mata, jauh di belakang wakil Vietnam, Huyen Vuong Thi, yang memperoleh 172 mata dan menjadi juara kategori 45 kg.

Tempat kedua diraih atlet Indonesia, Setiawati Lisa, dengan 169 mata manakala tempat ketiga menjadi milik wakil tuan rumah, Mary Flor Diaz, dengan 159 mata.

"Saya tidak sangka dapat meraih tempat keempat kerana ini adalah Sukan SEA pertama saya. Pencabar semua hebat dan kuat. Saya akan cuba lagi dalam edisi seterusnya," katanya.