Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Amin Rahim, yakin mampu membentuk pasukan terbaik dalam baki dua daripada lima perlawanan persahabatan menentang Institut Sukan Australia Barat (WAIS) menjelang Sukan SEA Filipina hunjung bulan ini.

Dia mengakui terdapat peningkatan terhadap prestasi pemainnya dalam tiga perlawanan persahabatan dengan WAIS sejak kelmarin.

Skuad negara memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama itu dan mahu memanfaatkan dua baki perlawanan untuk memperbaiki kelemahan dalam aspek taktikal.

Amin turut berpuas hati apabila anak buahnya menonjolkan semangat ingin bersaing dalam merebut slot 12 pemain terbaik yang akan dibawa ke Filipina.

"Buat masa ini, saya boleh katakan yang semua pemain sudah nampak bersedia.

"Baki dua perlawanan ini akan digunakan untuk memperbaiki beberapa aspek taktikal yang saya rasa kritikal.

"Kerana dalam Sukan SEA ada dua pasukan, iaitu Thailand dan Indonesia, yang akan menjadi seteru kami," katanya.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Mohd Hanip Che Halim, berasakan pasukannya sedang berada di landasan yang tepat untuk merebut pingbat emas di Manila.

"Pada awalnya terdapat kelemahan daripada beberapa aspek.

"Tetapi kami sudah memperbaikinya sedikit demi sedikit.

"Baki dua perlawanan yang akan datang mungkin akan ada penambahan daripada segi pergerakan di bahagian atas," katanya.