Pasangan suami isteri, Aldrian Yeo dan Serena Yang, menegaskan kehadiran mereka dalam Sukan SEA Filipina yang bermula esok bukan untuk berbulan madu, sebaliknya mengharapkan pengorbanan yang dilakukan selama ini dapat membuahkan hasil menerusi kilauan pingat dalam acara triatlon.

Kelibat Aldrian dan Serena mencuri tumpuan kerana hadir dengan status suami-isteri.

Menariknya, ia merupakan kali pertama pasangan itu mewakili negara secara bersama-sama selepas kempunan untuk melakukannya dalam Sukan Asia di Indonesia tahun lalu kerana Serena sedang hamil anak pertama.

Penyertaan dalam edisi kali ini turut memerlukan pengorbanan apabila pasangan itu terpaksa meninggalkan anak lelaki mereka yang baru berusia sembilan bulan di tanah air.

"Memang agak berat kerana ia merupakan kali pertama Serena meninggalkan bayi kami.

"Saya juga sudah beberapa kali meninggalkannya untuk bekerja, jadi memang agak berat jugalah," kata Aldrian.

Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Aldrian dan Serena akan beraksi dalam acara individu masing-masing bermula Isnin ini.

"Ia sesuatu yang baik juga.

"Sekurang-kurangnya saya dapat menonton sesuatu sewaktu tiada acara," tambah Serena pula.