Kapten skuad B-22 negara, Adam Nor Azlin, mahu memeberikan penutup tahun termanis buat bola sepak Malaysia dalam Sukan SEA Filipina bermula Isnin ini selain melunaskan misi tertunggak dalam edisi Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Kecemerlangan skuad senior dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dan kemaraan skuad B-19 tahun ke pusingan akhir Kejohanan AFC memberikan sinar bahagia buat arena bola sepak negara.

Kini, dia dan rakan sepasukannya berpeluang untuk menambah kegembiraan itu dengan meraih pingat emas Sukan SEA yang gagal direalisasikan selepas tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir dua tahun lalu.

"Ia merupakan motivasi buat kami.

"Skuad (di peringkat) bawah umur sudah layak dan skuad (senior) negara juga sudah menunjukkan aksi yang cemerlang.

"Jadi, skuad B-22 perlu menjadikannya sebagai motivasi dan bukannya tekanan untuk membuktikan sesuatu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Adam dan Irfan Zakaria terpilih untuk mengisi slot pemain lebih umur bagi temasya kali ini.

Kedua-dua pemain itu merupakan watak penting ketika meraih pingat perak dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

"Bagi saya, (skuad) dalam setiap edisi Sukan SEA mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tersendiri.

"Mungkin skuad 2017 di Kuala Lumpur mempunyai kekuatan tersendiri dan kami di sini perlu mengukur prestasi setiap pemain dalam setiap perlawanan," tambahnya.